Ad Code

Responsive Advertisement

Punca-punca Tabiat Merokok dalam Kalangan Wanita

Contoh Karangan Punca-punca Tabiat Merokok dalam Kalangan Wanita

Bahaya dan keburukan merokok kerap diperkatakan,tetapi tabiat merokok ternyata semakin meningkat dalam kalangan masyarakat di negara ini.Dahulu hanya kaum lelaki sahaja yang mengamalkan tabiat merokok, tetapi tabiat ini sudah menular dalam kalangan wanita dan remaja wanita. Malah,yang membimbangkan ialah peningkatan perokok dari semasa ke semasa bak cendawan tumbuh selepas hujan.. Peningkatan ini bukan sahaja berlaku dalam kalangan lelaki, malah berlaku dalam kalangan kaum wanita semenjak kebelakangan ini. Statistik tidak rasmi Kementerian Kesihatan pada tahun lalu menunjukkan bahawa peratus remaja wanita merokok ialah lapan peratus berbanding pada tahun-tahun sebelumnya yang hanya mencatatkan tiga peratus sahaja.Jumlah perokok wanita dan remaja wanita tidak mustahil akan meningkat pada tahun yang akan datang jika tidak ada usaha untuk menangani masalah ini Apakah alasan dan sebabnya semakin ramai wanita di negara ini merokok? Inilah persoalan yang perlu kita bincangkan sekarang.

Apabila tinjauan secara rambang dibuat dalam kalangan perokok wanita, kebanyakan mereka mengatakan bahawa merokok menjadi salah satu cara mengatasi tekanan dan ketegangan yang dihadapi oleh mereka. Tabiat merokok dianggap oleh mereka sebagai cara yang paling mudah dan berkesan untuk menyelesaikan masalah itu. Bagi mereka, setiap hembusan asap rokok seolah-olah satu masalah yang membebani mereka menghilang. Hal ini demikian kerana nikotina yang terkandung di dalam rokok itu mematikan akal mereka, tetapi perkara ini hanya sementara semata-mata. Oleh sebab itu, mereka menghisap rokok ini dengan kerap dan kuantiti yang banyak. Seterusnya, hidup mereka akan terus dibelenggu oleh rokok. Dengan ini, jelaslah bahawa alasan wanita merokok adalah untuk menghilangkan tekanan yang dihadapi. 

Di samping itu, ada juga mereka yang berpendapat bahawa tabiat merokok tidak lebih sebagai satu keperluan bagi menyesuaikan diri dengan keadaan persekitaran tempat dan rakan-rakan yang didampingi oleh mereka. Bagi mereka, mereka merokok hanya untuk suka-suka supaya diri mereka diterima oleh kelompok tertentu dan tidak terasa dirinya disisih disebabkan mereka tidak merokok. Pada hakikatnya, mereka lupa bahawa merokok ini menyebabkan mereka akan ketagih. Sebagai contoh, setiap kali mereka berjumpa dengan kawan-kawan mereka, mereka akan merokok. Semakin kerap mereka berjumpa, semakin banyaklah rokok yang akan disedut. Jadi, tidak hairanlah sekiranya peratusan perokok wanita semakin meningkat saban hari.

Sementara itu, kebanyakan perokok remaja yang masih berusia belasan dan awal dua puluhan tahun pula memberitahu bahawa tabiat merokok mampu membantu mereka untuk menjaga dan mengawal berat badan. Pengaruh rakan-rakan yang mengatakan bahawa berat badan dapat dikawal menerusi tabiat merokok menyebabkan semakin ramai remaja wanita yang berani untuk cuba menghisap rokok. Kesan sampingan tidak difikirkan oleh mereka, tetapi yang lebih penting bagi mereka adalah untuk memiliki bentuk badan yang ramping dan cantik. Apatah lagi pada peringkat usia ini, masing-masing gemar bersaing dan cuba menarik perhatian orang lain. Hal ini menunjukkan kita bahawa mereka gemar membuat sesuatu perkara tanpa memikirkan baik dan buruknya benda tesebut.

Hasil kajian sains juga mendapati bahawa wanita lebih mudah ketagih berbanding dengan lelaki dan lebih sukar untuk berhenti apabila ketagih. Hal ini menjadi lebih sukar lagi sekiranya wanita itu mula menghisap rokok pada usia muda.Kebanyakan perokok yang menghisap rokok jenis kadar nikotin rendah biasanya mengatakan bahawa mereka senang untuk berhenti merokok. Sebaliknya, jika kita berfikir dari segi logik, orang yang merokok sama ada yang mempunyai sedikit nikotin atau banyak nikotin boleh memberikan kesan buruk. Dalam konsep kesihatan, tidak ada rokok yang selamat seperti pesanan Kementerian Kesihatan Malaysia di setiap kotak rokok Merokok Membahayakan Kesihatan. Tidak mustahil individu yang menghisap rokok dengan kadar nikotin rendah akan mengambil lebih banyak rokok pada suatu hari nanti. Oleh itu, langkah berjaga-jaga perlu diambil oleh setiap individu supaya tidak terjebak dengan tabiat merokok ini

Terdapat juga perokok yang memberikan alasan kononnya merokok boleh memberikan sumber ilham dan menghilangkan ketegangan. Hal ini tidak benar kerana perokok berkenaan menanam dalam fikiran mereka sendiri bahawa perkara itu boleh berlaku. Pada peringkat awal, jika seseorang yang tidak pernah merokok, apabila merokok, maka nikotin dalam rokok berkenaan akan merangsang fikirannya, tetapi lama-kelamaan, nikotin tadi sama juga seperti dadah yang lain akan menjadi immun kepada perokok berkenaan. Contohnya, kalau hari ini mereka mengambil sebatang rokok dan terasa nikmatnya, maka lama-kelamaan keperluan itu meningkat menjadi dua batang, sebatang rokok sudah tidak terasa apa-apa lagi. Hal ini berlaku kerana apabila nikotin dihisap semakin banyak, maka rangsangan akan berubah menghambat dan menghalang serta menjadikan perokok berkenaan mula ketagih pada peringkat ini. 

Kesimpulannya, bagaimanakah caranya untuk berhenti daripada merokok? Individu yang sudah berhenti merokok selama sekurang-kurangnya setahun boleh menghentikan terus tabiat itu. Walau bagaimanapun,hal ini bergantung pada persekitaran, hubungan dengan rakan-rakan dan kebosanan yang dirasakannya. Jika perokok hendak berhenti merokok,maka mereka hendaklah mengawasi alam persekitaran seperti rakan-rakannya,persekitaran tempat kerja dan lain-lain yang boleh menjebaknya untuk meneruskan tabiat itu. Oleh sebab itu, sebelum sampai peringkat ketagih maka lebih elok berhenti merokok bagi memudahkannya membuang terus tabiat itu. Dengan menghentikan tabiat merokok, perokok bukan sahaja dapat menjimatkan wang mereka,tetapi mereka juga boleh menghindari diri mereka daripada dihinggapi pelbagai penyakit. Oleh itu, tabiat merokok perlu dihentikan dan saya bergarap individu yang belum merokok supaya tidak cuba untuk merokok kerana hal ini akan membawa kepada ketagihan. Oleh sebab itu, kita perlu pegang peribahasa “beringat-ingat sebelum kena, berjimat-jimat sebelum habis.”

Catat Ulasan

2 Ulasan

  1. memang x di nafikn perempuan yg kuat merokok memang sukar nk berhenti berbanding lelaki.isteri aku jgk seorang perokok.dah hampir 10 thn berkahwin dan punyai 2 org anak isteri aku masih merokok.dia mula merokok sejak dikolej lagi.sikap ahli keluarganya yg xkisah dia merokok membuatkan dia semakin kuat merokok sewaktu remaja lagi.adik perempuannya juga seorg perokok.

    BalasPadam
    Balasan
    1. same la ngan kes kawan saya ni..die merokok dari tingkatan 2 lagi..sampai skarang umur dah 25 pn xberenti lg..makin kuat merokok adela..berkali2 dah nasihat xnk berenti gak..hurmm

      Padam