Contact Form

Sabtu, 5 Julai 2014

Perpaduan kaum di Malaysia

(a) Perpaduan

Perpaduan boleh ditakrifkan sebagai satu proses yang menyatupadukan anggota masyarakat dan negara seluruhnya melalui ideologi negara supaya tiap-tiap anggota masyarakat dapat membentuk satu identiti dan nilai bersama serta satu perasaan kebangsaan dalam  kalangan mereka. Perpaduan masyarakat merupakan  antara aspek  yang penting dalam membentuk  perpaduan negara. Malaysia kini dihuni oleh beberapa kaum dan etnik  yang bersifat majmuk  yang  membawa kepada wujudnya jurang perpisahan .

Pada zaman pemerintahan British di negara ini, mereka mengamalkan  dasar pecah dan perintah terutama membiarkan penduduk  negara ini mengamalkan kegiatan ekonomi masing-masing mengikut komposisinya. Orang Melayu dibiarkan berada di kampung yang terlibat dalam bidang pertanian  dan penanaman padi serta menangkap ikan  manakala tenaga buruh di ladang diambil dari  negara India dan di kawasan lombong bijih timah tenaga imigran dari China diambil. Kesannya jurang perpaduan mula timbul disebabkan kegiatan ekonomi yang diusahakan di samping  tempat tinggal yang berbeza . Keadaan ini mengurangkan kebarangkalian penduduk Melayu , Cina dan India bersama-sama dalam satu lokaliti.Kesan jangka panjang keadaan ini ialah wujudnya jurang pemisahan antara kaum.

Bersama-sama dengan kedatangan imigran ini ialah sistem pendidikan mereka yang dibawa ke negara ini. Orang Cina dan India memiliki sistem sekolah vernakular sendiri yang membawa masuk guru, buku dan sukatan pelajaran dari negara mereka. Kesannya di negara ini telah wujud satu sistem pendidikan yang di dalamnya terdapat sekolah aliran agama , Inggeris, Cina , Tamil dan aliran  Melayu.  Kesan langsung wujudnya sistem  pendidikan zaman British ini menyebabkan terhalangnya proses asimilasi yang boleh memungkinkan pergaulan kaum dapat dilakukan dengan sempurna.

Penaklukan Jepun di Tanah Melayu pada Perang Dunia Kedua iaitu pada 1941-1945 juga tak kurang mendatangkan kesan yang hebat ke atas hubungan integrasi kaum di negara ini. Pihak Jepun pula mengamalkan dasar anti-Cina dan pro-Melayu yang ternyata mengeruhkan lagi keadaan semasa dengan menyebabkan timbulnya perasaan benci dan prasangka buruk masyarakat Cina terhadap orang Melayu. Orang Cina bertindak mengambil kesempatan utuk membalas dendam dengan menganggotai Bintang Tiga atau lebih dikenali sebagai Parti Komunis Malaya (PKM) dalam tempoh masa Jepun menyerah kalah dan sebelum kedatangan kembali pihak British. Ketika inilah berlakunya  keganasan 14 hari seperti membunuh, menculik, membakar masjid dan bangunan sebagai cara membalas dendam . Keadaan ini  menyebabkan berlakunya persengketaan kaum antara orang Melayu dan orang Cina. Lebih memburukkan lagi keadaan adalah apabila kebanyakan orang Cina terlibat dalam pergerakan PKM manakala orang Melayu kebanyakannya merupakan anggota pasukan keselamatan ketika zaman darurat pada 1948-1960.

Semasa kempen Pilihan Raya 1969, calon-calon pilihan raya serta ahli-ahli politik dari kalangan parti pembangkang, telah membangkitkan soal-soal Bangsa Malaysia berkaitan dengan Bahasa Kebangsaan (Bahasa Melayu), kedudukan istimewa orang Melayu sebagai (Bumiputera) dan hak kerakyatan orang bukan Melayu. Hal ini telah memberi kesempatan kepada ahli-ahli politik yang ingin mendapatkan faedah dalam pilihanraya.
Pada pilihanraya umum 1969 Parti Perikatan yang dianggotai oleh (UMNO-MCA-MIC) telah gagal memperolehi majoriti 2/3 diparlimen, walaupun masih berjaya membentuk kerajaan persekutuan. Hal ini disifatkan oleh parti pembangkang sebagai satu kemenangan yang besar buat mereka. Jumlah kerusi yang dimenanginya dalam Dewan Rakyat (Parlimen) telah menurun daripada 89 kerusi pada tahun 1964 kepada 66 kerusi pada tahun 1969.Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Parti Progresif Rakyat (PPP) menang 25 buah kerusi dalam Dewan Rakyat manakala PAS menang 12 kerusi.
 

Pihak pembangkang yang memperoleh pencapaian gemilang dalam pilihanraya telah meraikan kemenangan mereka pada 11 Mei 1969. Perarakan tersebut sebenarnya tidak bermotif untuk menimbulkan isu perkauman. Malah terdapat segelintir pengikut perarakan  telah mengeluarkan slogan-slogan sensitif berkenaan isu perkauman semasa mengadakan perarakan di jalan-jalan raya di sekitar Kuala Lumpur. Perarakan turut dijalankan pada 12 Mei 1969 di mana kaum Cina berarak menerusi kawasan Melayu, melontar penghinaan sehingga mendorong kepada kejadian tersebut. Pihak pembangkang yang sebahagian besar darinya kaum Cina dari Democratic Action Party dan Gerakan yang menang, mendapatkan permit polis bagi perarakan kemenangan melalui jalan yang ditetapkan di Kuala Lumpur. Bagaimanapun perarakan melencong dari laluan yang ditetapkan dan melalui kawasan Melayu Kampung Baru, menyorak penduduk di situ. Sesetengah penunjuk perasaan membawa penyapu, kemudiannya dikatakan sebagai simbol menyapu keluar orang Melayu dari Kuala Lumpur, sementara yang lain meneriak slogan mengenai tengelamnya kapal Perikatan .  Orang Melayu memandang perisitiwa ini  sebagai kaduk naik junjung. Natijahnya berlaku kemarahan yang meluap-luap dalam kalangan orang Melayu sehingga menumpahkan darah .Maka berlakulah kejadian yang dinamakan Tragedi 13 Mei 1969.  Kepanasan isu ini cepat menular sehingga ke seluruh negara dalam masa yang begitu singkat sahaja.

Perpaduan negara ini juga diuji dengan pelbagai isu berkaitan dengan agama dan soal hak kerakyatan dan beberapa isu sensitif lain yang mampu menjejaskan perpaduan kaum di negara ini . Ianya dibawa dan dimainkan oleh beberapa badan bukan kerajaan yang cuba mendapatkan nama dalam usaha mendapatkan sokongan berterusan sehingga ke tarikh pilihanraya akan datang. Jika dibiarkan begitu sahaja tanpa diselesaikan atau dirungkai terlebih awal hal ini mampu merobek perpaduan kaum sedia ada pada masa sekarang.

(b) Kepentingan perpaduan kaum

Perpaduan dalam kalangan pelbagai etnik di negara kita haruslah dikekalkan untuk menjamin keselamatan negara  agar kemerdekaan yang kita kecapi sekarang ini berkekalan .Hal  ini adalah untuk mengelakkan berulangnya perkara yang tidak diingini seperti rusuhan kaum pada 13 mei 1969 yang telah berlaku di negara kita. Kesan daripada rusuhan ini kita dapat lihat betapa ramai masyarakat negara kita yang mati dalam peristiwa berdarah ini. Oleh itu,  perpaduan  penting agar kejadian yang sama tidak akan berulang. Dalam nada yang sama kita akan dapat mengekalkan kestabilan politik jika kejadian rusuhan kaum ini dapat dielakkan oleh semua anggota masyarakat yang memiliki semangat nasionalisme dan patriotik yang tinggi.

Selain itu, keharmonian ini juga mestilah dikekalkan untuk melahirkan perasaan cintakan tanah air dan sanggup berkorban untuk negara kita.  Perpaduan dalam kalangan etnik di negara ini juga akan dapat mengukuhkan lagi keselamatan negara daripada ancaman  luar dan dalam negara. Warganegara yang memiliki semangat nasionalisme akan melahirkan kekuatan dalam mempertahankan negara ini daripada campurtangan kuasa luar seterusnya memelihara kedaulatan negara ini dan mengekalkan kemerdekaan negara ini seterusnya.
 

Perpaduan negara yang jitu juga dapat membina sebuah masyarakat yang saling menghormati antara satu sama lain disebabkan faktor rasa bersama dan kekitaan yang lahir dalam jiwa seluruh anggota masyarakat. Sifat dengki dan khianat akan terlebur begitu sahaja  jika semua anggota masyarakat memiliki sifat saling menghormati yang dipupuk sejak kita kecil lagi.

(c) Faktor yang menyumbang kepada pengukuhan perpaduan kaum


Peristiwa 13 Mei telah menjadi catatan sejarah yang suram di negara ini. Hal ini demikian kerana peristiwa ini memperlihatkan bahawa hubungan kaum akan menjadi rapuh jika ada  tindakan luar batasan dilakukan dan tindakan mencegah tidak dilakukan dengan secukupnya. Peristiwa berdarah ini menjadi iktibar bahawa perpaduan kaum boleh menjadi bom jangka yang boleh meletup pada bila-bila masa memandangkan terdapat sebahagian anggota masyarakat yang gemar menjaja isu sensitif bagi meraih sokongan politik mudah untuk bangsa mereka. Selepas kejadian ini lahir kesedaran untuk menyatupadukan kaum di negara ini dengan terbentuknya Rukun Negara yang menjadi satu identiti bagi semua anggota masyarakat. Dalam masa yang sama kekurangan orang Melayu dalam bidang ekonomi cuba diselesaikan dengan pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru yang dilancarkan pada 1970.

Rentetan peristiwa tersebut juga  telah terbentuknya MAGERAN pada 17 Mei 1969 yang berfungsi sebagai pengembali keamanan dan undang-undang negara; penentu pentadbiran yang licin dan sempurna; dan pengembali keharmonian dan kepercayaan antara kaum. MAGERAN didapati berjaya mengembalikan keamanan kepada negara selepas dua tahun ditubuhkan. Seterusnya, pada tahun 1969 juga, Jabatan Perpaduan Negara(JPN) dan Majlis Muhibah Negara(MMN) telah dibentuk. JPN yang diketuai Tan Sri Mohd Ghazali Shafie telah ditubuhkan untuk membantu kerajaan menggerakkan dan membimbing rakyat ke arah perpaduan negara. MMN pula ditubuhkan pada 18 Julai 1969 bertujuan memulihkan kepercayaan dan keyakinan antara kaum, mengkaji dan mengatasi masalah untuk menghapuskan perselisihan faham, membantu dan menyusun kerja-kerja sukarela. MMN dan JPN telah digabungkan pada 1Januari 1972 menjadi Kementerian Perpaduan Negara yang kini bergelar Kementerian Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat yang ditugaskan untuk mengendalikan aktiviti-aktiviti bercorak muhibah untuk masyarakat yang berbilang kaum

Penubuhan parti politik di negara kita sebenarnya bermula pada 1940 apabila kesedaran politik mula melonjak hasil pengenalan Malayan Union  oleh Inggeris di negara ini. Penubuhan UMNO , MCA dan MIC pada awalnya bermaksud untuk membela masyarakat atau kaum masing-masing dalam bidang politik, ekonomi dan sosial. Perpaduan kaum mula dibentuk apabila Parti Perikatan mula ditubuhkan hasil gabungan UMNO,MCA dan MIC yang merapatkan hubungan antara orang Melayu, Cina dan India dalam bidang politik dalam usaha memuju kerjasama kaum ke arah mencapai kemerdekaan. Proses ini dilakkukan mulai 1948 hinggalah 1956 . Dapat dilihat pada masa ini kesedaran pentingnya perpaduan kaum dibentuk bagi  menjamin keadaan negara yang aman dan damai dengan penduduknya dapat bekerjasama antara satu sama lain.

Kerajaan telah merangka Dasar Pendidikan Kebangsaan sebagai landasan mewujudkan masyarakat yang bersatu padu. Penyata Razak dan Ordinan Pelajaran yang telah termaktub sebelum merdeka telah disemak semula menghasilkan Laporan Rahman Talib dan seterusnya dimaktubkan dalam Akta Pelajaran, 1961 merupakan antara usaha awal kerajaan dalam sektor Pendidikan. Matlamat Dasar Pendidikan Kebangsaan diharapkan dapat memenuhi keperluan tenaga rakyat negara ini dalam jangka pendek dan panjang demi melahirkan masyarakat yang bersatu padu, berdisiplin dan terlatih. Antara strategi yang dirancang untuk mencapai matlamat Dasar Pendidikan Kebangsaan ialah menjadikan Bahasa Kebangsaan bahasa pengantar yang utama, mengadakan kurikulum yang sama dan berorientasikan Malaysia bagi semua jenis sekolah, mewujudkan sistem peperiksaan yang sama dan sebagainya.

(d) Cabaran untuk mengekalkan perpaduan kaum


Cabaran kepentingan etnik dari aspek politik iaitu  politik perkauman boleh menimbulkan perasaan kurang senang hati dan mengukuhkan semangat perkauman jika sesuatu tindakan diambil tanpa mendapat kata sepakat oleh semua pihak. Isu-isu perkauman seperti bahasa, kebudayaan, pendidikan, agama, kerakyatan, dan ekonomi jika dipergunakan untuk tujuan berpolitik, pastinya, ia tidak akan menyumbang ke arah masyarakat yang bersatu padu.Ianya ditambah lagi dengan usaha parti tertentu yang mengemukakan ideologi Malaysian Malaysia bagi  mendapatkan hak yang sama rata dalam kalangan penduduk di negara ini.Sekali pandang ianya merupakan suatu isu yang kecil tetapi sebenarnya isu ini berlawanan dengan kontrak sosial yang dibuat sebelum negara ini mencapai kemerdekaan.

Sejak zaman penjajahan lagi, masalah integrasi telah wujud terutamanya semasa penjajahan British. Mereka menjalankan dasar “divide and rule” iatu dasar pecah dan perintah agar dapat memerintah dan mengeksploitasi ekonomi negara. Dasar ini jugalah yang memisahkan kaum-kaum utama negara ini mengikut bidang ekonomi yang dijalankan. Masyarakat melayu mengendalikan pertanian dan ditempatkan di kawasan luar Bandar iaitu di kampong-kampung. Masyarakat Cina ditempatkan dilombong-lombong bijih timah dan bandar-bandar kerana aktiviti perlombongan dan perdagangan yang dijalankan mereka. Manakala masyarakat India pula ditempatkan di lading-ladang getah. Perubahan fungsi ini telah menyebabkan ketiga-tiga kaum ini terpisah dan hubungan semakin terhada dan menjadi bertambah renggang.

Cabaran dari segi ekonomi yang paling nyata ialah perbezaan dari segi pekerjaan di mana perbezaan ini diwujudkan oleh pihak British melalui pecah dan perintah sepertimana dinyatakan sebelum ini. Masalah ini telah mewujudkan perasaan curiga dan telah mewujudkan jurang ekonomi antara kaum-kaum terbabit. Akibat daripada dasar yang dicipta oleh British itu, kesannya masih lagi dapat dilihat sampailah sekarang di mana sektor perniagaan masih lagi didominasi oleh orang Cina dan kebanyakkan orang India masih lagi tinggal di lading-ladang. Perbezaan pekerjaan ini telah membataskan interaksi sosial antara mereka kerana masa banyak diluangkan ditempat kerja dan sekiranya rakan sekerja terdiri daripada kaum atau etnik yang sama maka interaksi dan komunikasi hanya berlaku dan berada dalam lingkungan kaum yang sama sahaja. Kesannya adalah di mana perasaan prasangka dan perkauman akan menjadi semakin kuat dan menebal di antara sesama kaum terbabit.

Sistem persekolahan yang wujud di negara ini, pada dasarnya berpandukan sistem Barat yang diperkenalkan oleh pentadbiran British mulai abad ke 19, Pelajaran Cina telah memberi kesedaran kebangaaan pemuda –pemuda Cina. Sekolah Cina bukan hanya menggunakah bahasa Cina sebagai bahasa pengantar, gurunya datang dari negara China, buku teks diimport dari negara China dan berkiblatkan China. Sekolah Tamil pula menggunakan bahasa Tamil sebagai bahasa pengantar yang tunggal. Kebanyakan sekolah Tamil terletak di kawasan ladang dan sebahagian besarnya dibiayai oleh syarikat-syarikat yang memiliki ladang-ladang berkenaan. Kerajaan sebelum merdeka menganggap sekolah Inggeris sebagai sistem persekolahan yang unggul. Kelulusan sekolah Inggeris terdedah kepada pemikiran Barat. Perbezaan di antara sekolah Inggeris dengan sekolah-sekolah lain bukan dari segi bahasa pengantar sahaja, sukatan pelajaran juga tidak sama dan sekolah Inggeris juga memberi kesan kepada perpecahan yang berlaku di dalam masyarakat. Jelas sekali, sistem persekolahan sebelum merdeka memainkan peranan penting mengekalkan keperibadian satu-satu golongan etnik dan, di samping itu, mewujudkan dua golongan terdidik – berpelajaran Inggeris dan berpelajaran vernakular  yang tidak mempunyai pandangan dunia (world – view) yang sama. Pihak Inggeris tidak memberatkan objektif perpaduan dalam sistem pelajarannya. Tidak ada satu dasar pendidikan kebangsaan sepertimana yang kita lihat hari ini. Yang penting bagi mereka ialah memberi pelajaran kepada segolongan rakyat untuk membolehkan sebahagian mereka memenuhi keperluan tenaga dan ekonomi.

Penyalahgunaan media sosial  telah mula menular sejak akhir-akhir ini. Media sosial seperti web dan blog serta face book menyebabkan timbulnya  kerenggangan kaum kerana banyak menimbulkan isu sensitif . Beberapa laman web yang bebas bergerak telah memperkatakan begitu banyak isu bersifat sensiti di samping menaburkan fitnah serta berita palsu menyebabkan wujudnya keresahan dalam masyarakat di negara ini. Beberapa kenyataan bersifat rasis dan berunsur perkauman begitu berleluasa pada masa sekarang. Keadaan ini pula tidak diambil tindakan oleh pihak berkuasa kerana pertindihan tugas dan bidang kuasa antara badan penguatkuasa dan badan pengawal komunikasi.  Penyebaran berita palsu dan tohmahan juga menjadi punca perbalahan dan persengketaan terhadap anggota masyarakat di negara ini. Isu kalimah Allah dalam bible yang diterbitkan dalam Bahasa Melayu contohnya  menyebabkan berlaku pertentangan pendapat dalam kalangan rakyat di negara ini. Ianya bakal menyebabkan wujudnya rasa benci dan dendam dalam masyarakat yang mampu mengguggat keamanan negara.

Campurtangan kuasa luar juga boleh menlunturkan perpaduan di negara ini.Beberapa individu yang dikenalpasti sedang berusaha mendapatkan kerjasama daripada Amerika Syarikat dan Australia dalam usaha mendapatkan sokongan dan dokongan terhadap permasalahan yang mereka hadapi. Kehadiran beberapa pemimpin dari luar ini boleh dianggap cuba mencampuri urusan negara ini kerana cuba mempertikaikan isu hubungan sesama jenis dan hak golongan  lesbian, gay dan transgender di negara ini.Segelintir anggota masyarakat juga mengaitkan isu di atas sebagai isu hak asasi manusia di negara ini. Dengan menjadikan isu ini sebagai isu hak asasi maka ianya mendapat sokongan sebahagian daripada anggota masyarakat.

(e) Langkah-langkah untuk mengekal dan memantapkan perpaduan kaum di Malaysia          

Beberapa kempen dan program yang dilaksanakan oleh pihak kerajaan mampu mengekal dan memantapkan perpaduan kaum di negara ini. Pelan Tindakan Perpaduan & Integrasi Nasional telah dirancang oleh Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional. Ia merupakan rancangan lima tahun iaitu dari 2005-2010 yang merancang pelbagai usaha untuk memupuk dan mempertingkatkan perpaduan dan integrasi nasional. Pelan ini mengandungi pelbagai strategi yang dirancang dari pelabagai aspek seperti strategi politik, ekonomi, pendidikan, penggunaan Bahasa Kebangsaan, Agama, Kebudayaan, Integrasi Wilayah, Keselamatan, Pembangunan Kawasan, Penggunaan Tenaga Manusia, Media Massa, Kesukanan, Pemasyarakatan Perpaduan, Pertubuhan Sukarela, Penyelidikan Dan Penerbitan Bahan Bacaan, Pemantauan Isu-isu Semasa dan Konflik, Penubuhan Panel Penasihat Perpaduan Negara (PANEL) dan Jawatankuasa Penasihat Perpaduan Peringkat Negeri (JKPPN), program dan aktiviti perpaduan, Sekolah Wawasan dan Program Latihan Khidmat Negara. Kesemua program, pelan dan aktiviti yang dirancang telah dijalankan dengan bertujuan supaya masyarakat dapat melibatkan diri dan memupuk hubungan etnik yang erat antara rakyat di negara ini.

Kerajaan melalui Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memperkenalkan program Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan (RIMUP) sejak tahun 1986. Program ini pada awalnya telah dilaksanakan di peringkat sekolah rendah dan kini diperluaskan ke semua sekolah rendah dan menengah pada tahun 2005. KPM memandang berat akan pentingnya dijalin hubungan yang rapat antara murid pelbagai kaum di sekolah supaya wujud kesefahaman dan perpaduan antara mereka. Dengan adanya persefahaman dan berbaik sangka maka akan timbul suasana hormat-menghormati terhadap agama, budaya dan adapt resam sesuatu kaum dengan kaum yang lain. KPM menyediakan peluang kepada murid pelbagai kaum untuk bergaul mesra secara sedar dan terancang. Proses perpaduan ini dapat dipupuk dan dibina agar semangat tersebut dapat diamalkan dalam masyarakat. Usaha ini dijana semula kea rah merealisasikan hasrat kerajaan untuk menjadikan rakyat Malaysia hidup bersatu padu dan harmoni.Antara aktiviti yang dilaksanakan ialah lawatan sambil belajar, kursus motivasi, kem perpaduan , sambutan hari perayaan , pameran kebudyaan dan persembahan pentas.

Sekiranya isu ini diperinci secara mendalam, kerajaan telah mewajibkan remaja yang berumur 17 tahun ke atas menyertai Program Latihan Khidmat Negara (PLKN). Modul kenegaraan PLKN sememangnya bertujuan untuk melahirkan semangat perpaduan dalam sanubari remaja daripada masyarakat majmuk yang merupakan bakal pemimpin negara. Selaras dengan modul kenegaraan, para remaja berbilang kaum berpeluang untuk bekerjasama bagai aur dengan tebing dan seterusnya perpaduan dapat disemai melalui aktiviti-aktiviti berkumpulan yang dilaksanakan dalam PLKN. Sesungguhnya, tidak dapat disangkal bahawa PLKN turut memainkan peranan dominan dalam iltizam membentuk perpaduan kaum.

Perpaduan kaum juga dapat dipupuk melalui aktiviti kemasyarakatan yang memerlukan setiap kaum mengambil bahagian dalam setiap aktiviti yang dijalankan. Cara ini dapat memupuk semangat kerjasama dan saling membantu antara satu sama lain dengan menghapuskan sikap mementingkan diri yang tertanam di dalam jiwa masyarakat kini. Namun, sikap negative masyarakat terutamanya masyarakat yang duduk di bandar yang hanya bekerja tidak tentu masa dan melakukan kerja sendiri menyebabkan usaha memupuk semangat perpaduan sukar untuk diterapkan. Aktiviti memperteguh jalinan kemesraan harus dijalinkan seperti aktiviti gotong royong yang memerlukan sumbangan setiap pihak untuk menjayakan aktiviti tersebut supaya perpaduan secara maksimum dapat dilahirkan. Pendek kata, aktiviti kemasyarakatan dapat menjadi wadah yang terbaik bagi memupuk semangat perpaduan yang perlu ada dalam diri setiap rakyat seiring dengan hasrat negara untuk mewujudkan masyarakat yang bersatu padu walaupun berlainan bangsa mahupun agama

Satu daripada cara mencapai perpaduan di antara kaum ialah menjaga budi bahasa serta akhlak dalam pergaulan. Perbezaan agama serta kepercayaan tidak mengurangkan kepentingan pemupukan budi bahasa. Adat istiadat adalah peraturan yang sentiasa dlpatuhi dan diamalkan dalam masyarakat Malaysia terutamanya pada hari perayaan. Adat istiadat ini mencirikan Kebudayaan Kebangsaan. Antara hari-hari perayaan yang sama-sama dihormati ialah Hari Kebangsaan Malaysia pada 31 Ogos, Hari Deepavali, Tahun Baru Cina, Hari Raya, Sambutan Maulud Nabi Muhammad s.a.w,
 
Slogan 1Malaysia atau 'Satu Malaysia' adalah satu gagasan peribadi yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri Malaysia keenam, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 2 April 2009. Intipati gagasan ini idea satu bangsa tanpa mengira kepelbagaian etnik, sub-etnik dan kebudayaan. Semua pihak mestilah bersama-sama menjayakannya. Pelaksanaannya bukan dibuat semalaman tetapi secara evolusi.Ia adalah ramuan serta formula pentadbiran dalam proses negara menuju Wawasan 2020 serta menjadi cemerlang, gemilang dan terbilang seperti yang diperjuangkan perdana menteri keempat dan kelima iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi
 
Aspek utama ialah sikap saling hormat menghormati dan bersikap menerima di antara satu sama lain.Masyarakat majmuk di Malaysia perlu disatukan melalui '1Malaysia'. Hubungan kaum dipereratkan bagi jangka masa panjang. Prinsip utama yang mendasari 1Malaysia adalah kebersamaan dan kekitaan dalam satu keluarga besar. Oleh yang demikian slogan ini sudah tentu menjadi satu pemangkin kepada perpaduan rakyat di negara ini.

Cara paling penting untuk menyatupadukan masyarakat berbilang kaum di Malaysia ialah melalui penggunaan bahasa kebangsaan. Penggunaan satu bahasa perhubungan dan persefahaman di antara satu kaum dengan yang lain dapat diwujudkan tanpa menimbulkan rasa curiga. Langkah ini mempercepatkan lagi perpaduan dan rasa hormoni antara kaum di negara ini.

(f) Rumusan

Pengetahuan
 

Keamanan negara ini sangat penting dalam usaha negara ini menginjak menjadi sebuah negara maju menjelang tahnun 2020. Antara faktor  utama kejayaan ini boleh dicapai ialah melalui situasai keamanan dan kesejahteraan negara sentiasa terjamin atau tidak boleh dikompromi oleh sebarang faktor lain.
 
Berdasarkan peristiwa  13 Mei 1969  kita wajar  memperkuat semula perpaduan kaum di negara ini agar semua anggota masyarakat dapat hidup dalam keadaan aman dan harmoni di negara yang kita cintai ini.
 
Dalam nada yang sama kita seharusnya memahami dan menghayati peristiwa sejarah negara negara ini yang terjajah sekian lama dan memerlukan kekuatan segenap sudut bagi menjamin penjajahan ke atas negara ini tidak lagi akan berlaku .

Iktibar
 

Kita juga seharusnya mengambil iktibar bahawa perpaduan hanya dapat dicapai jika semua rakyat bersatu padu , bertolak ansur, hormat menghormati antara sesama angota masyarakat

Harapan
 

Saya berharap agar semua warga negara ini akan sentiasa mematuhi undang-undang/ peraturan, tidak terpengaruh dengan anasir luar dan menghargai jasa tokoh yang telah banyak berjuang bagi mendapatkan kemerdekaan dan memenuhi kemerdekaan ini agar menjadi lebih bermakna akhirnya.

Label : views