Ad Code

Responsive Advertisement

Jenayah Pemerdagangan Manusia

Contoh Karangan Jenayah Pemerdagangan Manusia

Terdapat beberapa faktor yang mendorong kepada kebanjiran aktiviti pemerdagangan orang ke negara ini antara lain termasuklah kemiskinan, kurang pendidikan (iliterasi), krisis ekonomi, konflik dalaman dan serantau dan ketidakstabilan politik.
 
Malaysia sebagai sebuah negara yang aman, kaya dan makmur dengan kedudukannya yang strategik di tengah-tengah ASEAN menjadinya tarikan utama kepada pendatang dari seluruh dunia. Kerancakan ekonomi negara yang bermula tahun 1970-an bukan sahaja menarik para pelabur ke Malaysia tetapi penghijrahan atau migrasi manusia bagi memenuhi keperluan tenaga kerja untuk sektor perusahaan, perladangan dan perkhidmatan. Keperluan tenaga kerja ini telah membuka peluang kepada aktiviti penyeludupan dan pemerdagangan manusia.
 
Masalah ekonomi dan ketidakstabilan politik beberapa buah negara di Asia Selatan turut mendorong mereka mengorbankan sejumlah wang simpanan atau harta pusaka untuk datang ke Malaysia mencari rezeki. Peraturan dan undang-undang imigrasi serta pekerjaan yang fleksibel membolehkan mereka datang bekerja di Malaysia dengan mudah. Dengan budaya rakyat Malaysia yang pelbagai dan sentiasa bertoleransi, memudahkan mereka mengasimilasi diri mereka dengan rakyat tempatan dengan mudah.

Semua yang indah ini merupakan tarikan yang disalahgunakan oleh sindiket pemerdagangan orang untuk menjerat individu yang akhirnya menjadi mangsa pemerdagangan orang.


ASPEK PERUNDANGAN

Sebagai negara yang disifatkan dunia sebagai salah satu negara yang menjadi destinasi, transit dan sumber pemerdagangan orang, Malaysia terpaksa mengakui dan akur akan cabaran serta ancaman akibat dari jenayah merentasi sempadan ini. Dalam konteks ini, Malaysia telah memanisfestasikan keseriusannya dalam menanganinya jenayah ini melalui pengubalan Akta Antipemerdagangan Orang 2007 (Akta 670). Ini juga sejajar dengan persetujuan dan perjanjian yang telah Malaysia tandatangani di peringkat antarabangsa.

Akta Antipemerdagangan Orang 2007 (Akta 670) ini mendapat sumbernya dari dua (2) protokol, iaitu:

I. Protokol Mencegah, Membendung dan Menghukum Pemerdagang Orang khususnya Wanita dan Kanak-kanak, dan
II. Protokol Menentang Penyeludupan Manusia Melalui Darat, Laut dan Udara.

Kedua-dua Protokol ini adalah tambahan kepada Konvensyen PBB menentang Jenayah Merentasi Sempadan atau United Nations Convention Against Transnational Organized Crime (UNTOC ) yang mana Malaysia bersetuju dan menandatanganinya.

TINDAKAN PENGUATKUASAAN OLEH PDRM

Polis Diraja Malaysia (PDRM) selaku agensi penguat kuasa yang terulung Negara sentiasa memandang serius terhadap jenayah pemerdagangan orang. Bagi memastikan tumpuan yang khusus diberikan kepada masalah ini, PDRM telah bertindak menubuhkan Unit Antipemerdagangan Orang ( Unit ATIP) yang berpusat di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman. Unit ATIP ini antara lain bertanggungjawab mengenal pasti dan mengambil tindakan ke atas kes-kes pemerdagangan orang, membanteras sindiket yang terlibat, mengumpul maklumat dan risikan serta menjalankan penguatkuasaan di premis dan tempat yang berkaitan dengan kesalahan ini.

Tindakan penguatkuasaan yang dijalankan oleh PDRM memberi penekanan kepada jenis pengeksploitasian yang termaktub di bawah Akta Antipemerdagangan Orang 2007 yang merangkumi:

I.     Eksploitasi seks;
II.   Kerja atau perkhidmatan paksa (force labour);
III. Perhambaan atau amalan yang menyerupai perhambaan
IV.  dan pengabdian;
V.    Pemindahan organ manusia; atau
VI.  Apa-apa aktiviti yang menyalahi undang-undang.

Eksploitasi seks.
Tidak dapat dinafikan pelacuran yang merupakan aktiviti yang tertua di dunia, sukar dihapuskan malah ianya diwarisi dari generasi ke generasi. Kegiatan ini mempergunakan dan mengeksploitasi wanita dari seawal usia 10 tahun. Berpandukan kajian yang dijalankan oleh PBB pada tahun 2006 bagi seluruh dunia, adalah dianggarkan daripada 800,000 orang telah diseludup masuk dan diperdagangkan, 80 peratus adalah merupakan wanita dan yang menyedihkan, daripada jumlah ini, 50 peratus terdiri daripada kanak-kanak. Angka ini tidak termasuk pemerdagangan di negara sendiri.

Di Malaysia, Akta Antipemerdagangan Orang 2007 mula dikuatkuasakan pada 28 Februari 2008. Walaupun Akta ini baru berusia (6) bulan ketika itu, Malaysia telah merekodkan sabitan pertamanya pada tahun 2008, apabila seorang wanita warganegara India telah berjaya disabitkan dengan kesalahan pemerdagangan orang melibatkan eksploitasi seks. Bagi tempoh 28 Februari 2008 hingga 27 Jun 2010, sebanyak (165) kes pemerdagangan orang melibatkan eksploitasi seks telah dicatatkan. Statistik juga menunjukkan bahawa dari sejumlah (808) mangsa pemerdagangan orang yang telah diselamatkan dari eksploitasi seks, kesemuanya (100 peratus) adalah dari kalangan warga asing. Dari sejumlah itu pula, seramai (42) adalah mangsa kanak-kanak.

Kejayaan mengesan mangsa-mangsa pemerdagangan orang melibatkan eksploitasi seks adalah hasil dari tindakan proaktif PDRM, khasnya Jabatan Siasatan Jenayah ( JSJ) dengan menyelamatkan mangsa-mangsa pelacuran di pusat-pusat hiburan dan tempat-tempat kurungan tertentu. Dalam konteks ini, orang ramai telah memainkan peranan penting kerana tidak jemu-jemu menyalurkan maklumat tepat sehingga PDRM berjaya memberkas beberapa individu yang terlibat di samping berjaya melemahkan aktiviti-aktiviti sindiket-sindiket pelacuran. Untuk itu, PDRM ingin melahirkan rasa berterima kasih kepada masyarakat di atas keprihatinan dan kerjasama mereka.

Di arena antarabangsa pula, PDRM turut melakar sejarah dalam usaha menangani isu pemerdagangan orang apabila berjaya membongkar dan melumpuhkan banyak sindiket pemerdagangan orang dengan tertangkapnya individu kerana memperdagangkan perempuan-perempuan warganegara Malaysia dan warganegara China ke negara
Australia untuk tujuan pelacuran.

Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Manusia.
Apabila menyebut isu pemerdagangan orang, ramai orang keliru dan menyamakannya dengan masalah penyeludupan manusia. Kedua dua istilah ini merujuk kepada dua masalah yang berbeza. Namun demikian, penghujungnya sering berkait-rapat. Jika pemerdagangan orang lebih merujuk kepada elemen paksaan, penyeludupan manusia pula lebih kepada elemen rela hati. Penyeludupan manusia merupakan istilah yang digunakan untuk merujuk kepada pengangkutan manusia merentasi sempadan antarabangsa ke pintu masuk bukan rasmi negara destinasi. Selalunya mereka yang diangkut tidak mempunyai dokumen perjalanan sah atau kebenaran untuk memasuki negara destinasi. Dianggarkan seramai 2.7 juta manusia diseludup di seluruh dunia setiap tahun dan 80% daripadanya membabitkan wanita dan kanak-kanak.

Di Malaysia, rekod 2010 menunjukkan terdapat sebanyak (21) kes penyeludupan manusia yang disiasat di bawah Akta Antipemerdagangan Orang 2007. Seramai (521) mangsa terlibat di dalam kes-kes ini yang terdiri daripada warga Asia Selatan termasuklah Sri Lanka, Afghanistan, Pakistan, Bangladesh, Iraq dan Nepal. Hasil daripada siasatan dan risikan yang dijalankan, jelas menunjukkan bahawa negara Malaysia digunakan sebagai transit bagi mangsa penyeludupan ini untuk ke negara ketiga. Dalam kes-kes ini, destinasi mereka adalah negara Australia.

Penjualan Bayi.
Masalah penjualan bayi di Malaysia masih belum serius. Sebaliknya, Negara kita lebih berdepan dengan masalah atau isu pembuangan bayi yang agak membimbangkan. Walau demikian, di sebalik semua ini, terdapat mereka yang mengambil kesempatan dan mengeksploitasi keadaan. Sebelum ia berjaya berkembang, aktiviti penjualan bayi oleh kumpulan dan sindiket-sindiket penjualan bayi tersebut berjaya dikesan oleh pihak Polis.

Operasi menangani aktiviti penjualan bayi atau lebih dikenali dengan ”OPS KASIH” , telah berjaya mengesan sehingga tertangkapnya seramai (10) individu yang terlibat. Seramai (16) bayi dapat dikesan dan diselamatkan. Ketiga-tiga individu yang terlibat telah dihadapkan ke Mahkamah dan kini menghadapi pertuduhan di bawah Seksyen 14
Akta Antipemerdagangan Orang 2007.

Perhambaan (Slavery).
Isu perhambaan berkait rapat dengan pemerdagangan orang kerana konsepnya adalah seiras dengan ciri-ciri perhambaan moden. Perhambaan adalah satu bentuk guna tenaga yang tidak adil. Sungguhpun dunia mengharamkan perhambaan namun realitinya ia masih wujud di beberapa negara. Walaupun Negara kita tiada rekod menunjukkan berlakunya perhambaan dalam erti kata sebenarnya (slavery per se), namun statistik menunjukkan terdapat sebanyak (44) kes yang diklasifikasi sebagai perkhidmatan paksa di bawah Akta Antipemerdagangan Orang 2007. Dalam kategori ini, mangsanya termasuklah dari kedua-dua jantina (both gender).

Bagi jenis eksploitasi ini, PDRM juga telah berjaya menumpaskan satu sindiket di sempadan Malaysia – Thailand dengan tertangkapnya seramai (4) individu. Kesemua mereka telah pun dihadapkan ke Mahkamah dan kini sedang menghadapi perbicaraan.

MAJLIS DAN JAWATANKUASA ANTIPEMERDAGANGAN ORANG

Bagi memperkemaskan tindakan menangani aktiviti pemerdagangan orang, selaras dengan peruntukan di bawah Akta Antipemerdagangan Orang 2007 penubuhan sebuah badan yang dikenali dengan ’ Majlis Antipemerdagangan Orang (MAPO) ’ telah diujudkan oleh Kerajaan.
 
PELAN TINDAKAN NASIONAL 2010-2015

Kedudukan Malaysia yang begitu strategik menjadikan negara ini amat menarik untuk dijadikan pangkalan (base) sindiket pemerdagangan orang. Jika sesuatu yang drastik tidak diambil, negara akan dilabel tidak serius di mata dunia dan kemungkinan terus berada di Tier 3. Untuk itu, Pelan Tindakan Nasional 2010-2015 telah dirumuskan sebagai menunjukkan komitmen dan aspirasi negara dalam memerangi jenayah pemerdagangan orang.

Pelan Tindakan ini menggariskan hala tuju dan pendekatan yang akan diambil oleh Malaysia bagi tempoh (5) tahun dalam usaha negara ini menangani jenayah pemerdagangan orang ini. Dengan visi “ 1Malaysia , Collectively Committed To Combating Trafficking In Persons ” , Pelan Tindakan ini menggariskan (9) program dan (9) pencapaian strategik.

CABARAN DAN KEBERKESANAN TINDAKAN

Kewujudan Akta Antipemerdagangan Orang 2007 tidak bermakna isu pemerdagangan orang ini dapat diatasi dengan sempurna. Terdapat cabaran yang dikenalpasti berkemungkinan akan menggugat tindakan-tindakan yang akan diambil bagi membanteras gejala ini termasuk:

a. masalah kekurangan maklumat dan data;
b. menentukan sama ada mangsa benar-benar angkara pemerdagangan;
c. taktik pedagang yang berubah-ubah;
d. masalah kekurangan pengalaman bagi pihak penguatkuasa menangani kes-kes terlibat;
e. wujud mangsa yang terus mahu kembali ke tempat asal tanpa memikirkan kepentingan pendakwaan;
f. kurang sambutan atau tindak balas masyarakat umum;
g. keengganan mangsa atau saksi untuk tampil ke hadapan; risiko diusir balik;
h. keperluan untuk mengadakan sistem kerjasama antara badan-badan penguat kuasa.

KESIMPULAN
Pemerdagangan Orang adalah jenayah yang kompleks melibatkan sindiket dan organisasi yang terancang dengan jaringan kerjasama yang mantap. Justeru, satu pendekatan yang selaras dan komprehensif adalah amat diperlukan dalam usaha kita menangani jenayah yang tidak berperikemanusiaan ini.

Selain itu kerjasama dan kolaborasi di peringkat kebangsaan, serantau dan antarabangsa adalah penting dalam menjamin kejayaan ini. Dengan tindakan-tindakan proaktif yang diambil oleh Kerajaan melalui MAPO dan agensi-agensi penguat kuasa negara, khususnya PDRM, telah memperlihatkan suatu perubahan yang positif ke arah membendung dan mencegah kegiatan global ini.

Apa yang perlu dilakukan adalah bagi semua Badan Penguatkuasa dan mereka yang terlibat untuk terus memberikan komitmen, kesefahaman dan kerjasama yang tinggi dan bersepadu dalam melaksanakan tindakan-tindakan berpandukan teras undang-undang ini serta lain-lain peruntukan undang-undang yang sedia ada di samping mencetuskan tindakan sampingan yang proaktif.

Kesedaran awam dan komitmen masyarakat keseluruhannya juga dilihat memainkan peranan penting dalam merealisasikan aspirasi Pelan Tindakan Negara ke arah “1Malaysia – Bersama dan Komited Dalam Membanteras Pemerdagangan Orang ”.

Catat Ulasan

0 Ulasan