Contoh Karangan Kesan Positif dan Negatif Industri Pelancongan
Industri pelancongan
merupakan salah satu aktiviti ekonomi yang semakin berkembang pesat di
negara kita. Menurut Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Datuk Dr.
Ong Hong Peng, pada suku pertama tahun 2010 jumlah pelancong yang
datang ke negara kita telah meningkat kepada 5.75 juta orang berbanding
hanya 5.46 juta pada tempoh yang sama pada tahun 2009. Oleh itu, pada
tahun 2010, Malaysia dijangka mencatatkan pendapatan sehingga RM57
bilion hasil industri pelancongan berikutan pengukuhan ekonomi domestik
dan global. Namun begitu, perkembangan pesat sektor pelancongan di
negara kita turut mendatangkan pelbagai kesan kepada budaya tempatan.
Jadi, kesan positif dan kesan negatif sektor pelancongan terhadap budaya
negara kita akan dibincangkan demi kepentingan bersama.
Kesan positif pelancongan terhadap budaya tempatan ialah
industri pelancongan dapat membantu dalam memupuk persefahaman antara
masyarakat sejagat. Melalui pelancongan, kita berpeluang berinteraksi
dan berkomunikasi dengan pelancong asing. Penduduk di negara kita dapat
berinteraksi dan berkomunikasi dengan pelancong asing yang datang ke
negara kita untuk mengetahui keadaan politik, sosial, dan ekonomi negara
mereka. Mereka pula akan mengetahui budaya serta amalan yang unik
dalam kalangan masyarakat di negara kita. Contohnya, amalan “rumah
terbuka” yang diamalkan oleh segelintir rakyat negara kita. Jadi,
fitnah yang berkaitan dengan negara kita dapat dilenyapkan dan pelancong
asing yang datang ke negara kita juga akan bertambah. Jelaslah bahawa
sektor pelancongan dapat membantu dalam memupuk persefahaman antara
masyarakat sejagat.
Selain itu, industri pelancongan juga dapat memperkaya
budaya negara kita. Budaya dan amalan yang baik dalam kalangan
pelancong yang datang ke negara kita patut dicontohi dan diamalkan oleh
rakyat kita. Sebagai contohnya, amalan membaca dalam kalangan pelancong
yang datang dari Barat dapat menjadi teladan yang baik kepada penduduk
tempatan. Oleh itu, penduduk tempatan juga akan mengikut jejak langkah
mereka untuk mengamalkan budaya membaca dari semasa ke semasa. Bukan
ini sahaja, pelancong dari Barat dan pelancong dari Jepun amat
mementingkan amalan pemakanan yang sihat. Fenomena ini patut dicontohi
oleh rakyat kita dan menjadikannya sebagai budaya negara kita.
Pelancong asing yang mementingkan kebersihan alam sekitar juga harus
dicontohi. Jadi, rakyat kita akan mengekalkan kebersihan alam sekitar
demi menggalakkan kedatangan pelancong asing. Pendek kata, pelancongan
memang dapat memperkaya budaya kita.
Di samping itu, sektor pelancongan turut dapat
mengetengahkan budaya tradisional negara kita kepada pelancong-pelancong
asing. Sebenarnya, pelancong –pelancong asing amat tertarik akan
budaya tradisional yang ada di negara kita. Jadi, mereka sanggup
mengeluarkan masa dan wang mereka untuk melancong ke negara kita. Di
negara kita yang berbilang kaum, pelancong asing dapat menikmati
pelbagai jenis tarian tradisional seperti tarian ngajat, tarian singa,
tarian joket, dan sebagainya. Pelancong asing juga dapat menikmati
berbagai-bagai jenis permainan tradisional di negara kita. Misalnya
permainan tradisional seperti wau, congkak, gasing dan lain-lain amat
digemari oleh pelancong asing. Sudah terang lagi bersuluh, sektor
pelancongan memang dapat mengetengahkan budaya tradisional negara kita
kepada orang ramai.
Kesan negatif pelancongan ialah kedatangan pelancong mampu
menghakis nilai-nilai murni dalam kalangan masyarakat tempatan. Senario
ini akan berlaku disebabkan pelancong asing mempunyai pemikiran dan
sikap yang berbeza dengan masyarakat tempatan. Biasanya, pelancong asing
mempunyai sikap yang terbuka. Namun begitu, masyarakat tempatan
biasanya bersikap tertutup dan berfikiran tradisional. Melalui
kedatangan pelancong asing, sedikit sebanyak sikap mulia yang ada pada
masyarakat tempatan diperkukuh. Hal ini demikian kerana masyarakat
tempatan telah senang dipengaruhi oleh budaya mereka. Tuntasnya,
pelancongan mampu menghakis nilai-nilai murni masyarakat tempatan.
Selanjutnya, kes-kes jenayah akan meningkat akibat daripada
kedatangan pelancong asing. Hal ini demikian kerana pusat hiburan dan
pusat membeli-belah akan dibuka dengan banyak demi menjayakan sektor
pelancongan. Dengan adanya pusat hiburan seperti karaoke, disko dan pub
akan menyumbang kes-kes jenayah. Jadi, kes-kes jenayah di negara kita
akan meningkat. Selain itu, pelancong asing berkemungkinan besar akan
melakukan kes jenayah seperti vandalisme dan bergaduh di pusat hiburan
atau tempat lain apabila berlakunya perselisihan faham dengan penduduk
tempatan. Tegaslah bahawa kes-kes jenayah akan meningkat akibat daripada
perkembangan sektor pelancongan.
Tambahan pula, sikap materialistik juga akan berkembang
akibat daripada sektor pelancangan yang berkembang pesat. Sikap
materialistik telah diserap dalam jiwa penduduk tempatan kerana wujudnya
sektor pelancongan dalam negara kita. Apabila wujudnya sikap
materialistik, maka nilai tolong-menolong yang mendalam dalam kalangan
penduduk tempatan telah hilang. Hal ini demikian kerana penduduk
tempatan lebih cenderung untuk mendapat keuntungan daripada para
pelancong asing sehingga mengabaikan nilai-nilai murni. Penduduk
tempatan akan lebih mementingkan keuntungan daripada mewujudkan hubungan
rapat dengan pelancong asing. Jelaslah bahawa industri pelancongan
mampu mengembangkan sikap materialistik dalam kalangan penduduk tempatan
.
Kesimpulannya, sektor pelancongan mampu menyebabkan negara
kita berkembang dengan pesat, tetapi sektor tersebut turut meninggalkan
impak yang besar kepada budaya tempatan. Jadi, semua pihak harus
bekerjasama untuk mencegah kesan negatif yang dibawa oleh pelancong
asing. Dengan ini diharapkan sektor pelancongan dapat dimajukan dan
hanya meninggalkan kesan positif kepada masyarakat tempatan.
Sumber
Sumber
0 Ulasan