Ad Code

Responsive Advertisement

Kesan penyalahgunaan dadah dan langkah-langlah mengatasinya

Contoh Karangan Kesan penyalahgunaan dadah dan langkah-langlah mengatasinya

Kerajaan telah mengisytiharkan dadah sebagai musuh nombor satu negara sejak tahun 1983 lagi. Kini, setelah 30 tahun berlalu, gejala ini masih belum dapat dibendung sepenuhnya, malah semakin serius. Penyalahgunaan dadah kini merangkumi jenis dadah bukan sintetik (seperti heroin, morfin, candu dan ganja) dan jenis sintetik (seperti syabu, pil psikotropik, ecstasy dan amphetamine). Jumlah penagih dadah terkumpul yang direkodkan oleh Agensi Dadah Kebangsaan (A.D.K.) terus meningkat saban tahun.

Gejala dadah membawa pelbagai kos dan kesan buruk kepada negara. Kebanyakan penagih dadah merupakan golongan belia berumur di antara 18 hingga 40 tahun. Kumpulan muda ini merupakan tenaga penggerak yang diperlukan bagi usaha pembangunan negara. Selain itu, masalah penyalahgunaan dadah mempunyai kaitan dengan kejadian jenayah. Badan-badan bukan kerajaan yang terlibat menganggarkan kira-kira 50 peratus daripada banduan yang dipenjarakan ada hubung-kait dengan isu dadah. Gejala dadah ini juga mengenakan kos secara langsung dan tidak langsung kepada negara, seperti kos pengawasan polis, kos rawatan dan kebajikan para penagih, dan kos tambahan kepada sistem kesihatan nasional.

Kejadian penyakit h.i.v./aids juga bertambah ketara disebabkan masalah penyalahgunaan dadah. Ini berpunca daripada amalan perkongsian jarum yang berleluasa dikalangan penagih-penagih dadah. Sebanyak 51,256 kes h.i.v./aids telah dilaporkan di dalam negara semenjak tahun 1986. Lebih membimbangkan, kejadian penyakit ini telah bertambah pada kadar yang lebih tinggi dewasa ini. Pada tahun lepas, purata sebanyak 19 kes baru telah dilaporkan setiap hari, berbanding 13 kes baru pada tahun 2001. Di dalam hal ini, sebanyak 77 peratus daripada mereka yang mengidap penyakit h.i.v./aids merupakan penagih dadah. Justeru, usaha-usaha membendung gejala dadah tidak dapat dipisahkan daripada usaha-usaha untuk menangani penyakit h.i.v./aids.

Kerajaan telah membelanjakan berjuta-juta ringgit untuk mengatasi gejala dadah. Kita telah membina infrastruktur yang serba lengkap, termasuk kemudahan hospital dan 28 pusat serenti di seluruh negara. Kita telah menggubal antara undang-undang anti-dadah yang paling berat di dunia. Kita juga telah mendirikan agensi- agensi kerajaan yang diberi tanggungjawab dan kuasa penuh untuk menangani masalah dadah.

Walaupun begitu, usaha-usaha kita belum membuahkan hasil yang memuaskan. Bilangan penagih dadah semakin ramai. Kini kita berhadapan dengan dadah-dadah sintetik baru yang lebih merbahaya, dan kejadian-kejadian lain seperti penyalahgunaan ubat batuk dan aktiviti menghidu glu. Dalam pada itu, usaha-usaha rawatan dan pemulihan penagih dadah tidak berjaya seperti yang diharapkan. Kadar penagih yang telah mula menagih dadah semula (iaitu "relapse rate") selepas melalui rawatan dan pemulihan begitu tinggi (dianggarkan sekitar 70 peratus oleh badan- badan N.G.O.), walaupun kita sudah mempunyai pengalaman kira-kira 30 tahun dalam usaha rawatan seperti ini.

Sebenarnya, masa telah berlalu dan cabaran-cabaran kita telah berubah. Oleh itu, kita perlu mengkaji semula cara kita menangani gejala dadah dan memperbaharui pemikiran kita di dalam hal ini. Antara lain, kita perlu menilai semula kaedah dan tindakan agensi kerajaan, penglibatan pihak-pihak N.G.O. dan bekas-bekas penagih dadah, tanggungjawab ibu bapa dan pemimpin masyarakat, tugas dan fungsi majikan dan sektor swasta, serta peranan media di dalam usaha menangani masalah penyalahgunaan dadah.

Walaupun begitu, kerajaan akan tetap bertegas dalam menguatkuasakan undang-undang negara berkaitan dadah. Pihak berkuasa negara telahpun mencapai banyak kejayaan dalam gerakan menghapuskan kegiatan pengedaran dadah. Tahun lalu, seramai 25,906 orang telah ditangkap di bawah akta-akta yang berkaitan, termasuk 2,167 orang di bawah Seksyen 39b Akta Dadah Berbahaya (yang membawa hukuman gantung sampai mati sekiranya disabitkan kesalahan). Agensi-agensi penguatkuasa juga telah berjaya mengesan dan merampas kuantiti dadah yang tinggi sejak akhir-akhir ini. Saya ingin mengucapkan syabas kepada agensi-agensi tersebut. Usaha ini perlu diteruskan, malah dipertingkatkan lagi.

Dari segi penagihan dadah pula, kita perlu berganjak daripada fokus yang menekankan aspek jenayah/punitif bagi penagih dadah, kepada pendekatan memerangi `penyakit' penagihan dadah yang boleh dipulihkan melalui rawatan. Kita bersimpati dan berasa sedih kerana begitu ramai anak- anak muda yang telah sesat dan terjebak ke arah penyalahgunaan dadah. Penyakit ini perlu dirawat dan dihapuskan, agar generasi akan datang berupaya menjauhkan diri daripada gejala ini. Justeru, pusat-pusat rawatan dadah perlu mempertingkatkan keupayaan mereka untuk menjalankan kaunseling dan memulihkan penagih-penagih dadah dengan lebih berkesan.

Masyarakat juga perlu merubah pemikiran mereka tentang dadah. Masalah penyalahgunaan dadah adalah masalah bersama, dan bukan masalah pihak berkuasa semata- mata. Sesungguhnya, masalah dadah tidak mengenal batasan politik, agama, bangsa, sosial dan kebudayaan. Ini bermakna perjuangan memerangi dadah memerlukan penglibatan secara total. Oleh itu, semua pihak perlu berkongsi tanggungjawab dan kumpulan yang akan berusaha membasmi dadah perlu diperbesarkan. Antara lain, kita harus lebih melibatkan badan-badan bukan kerajaan dalam usaha ini, dan mempertingkatkan lagi hubungan kerjasama antara pihak berkuasa dan pelbagai badan bukan kerajaan yang terbabit.

Pemimpin-pemimpin masyarakat yang lain, termasuk ketua-ketua kampung dan para guru, akan turut bersama di dalam usaha ini. Sebenarnya, pendidikan adalah salah satu mekanisme terbaik dalam menangani masalah ini. Kalau dilihat daripada profil penagih yang dikesan, 72 peratus daripada mereka hanya mendapat pendidikan sehingga tingkatan tiga. Sekiranya kita mempertingkatkan pendidikan di kalangan anak-anak muda, baik dari segi pendidikan khusus mengenai dadah mahupun pendidikan am, kita akan dapat mengawal gejala ini dengan lebih baik.

Walaupun institusi keluarga kini menghadapi pelbagai cabaran getir akibat perubahan-perubahan ekonomi, sosial dan teknologi yang sedang melanda, namun penglibatan ibu bapa dan lain-lain ahli keluarga amat diperlukan bagi menangani masalah penyalahgunaan dadah. Ibu bapa perlu memainkan peranan yang berkesan dalam memberi kasih sayang dan penjagaan kepada anak-anak mereka, agar anak-anak itu tidak terperangkap di dalam gejala dadah.

Selain aspek pencegahan, pihak keluarga juga perlu memainkan peranan dalam memulihkan ahli keluarga yang telah menjadi penagih dadah. Bekas-bekas penagih yang telah melalui rawatan haruslah diterima balik ke pangkuan keluarga masing-masing. Saya amat khuatir sekiranya perasaan prasangka terhadap para penagih menebal di kalangan ahli-ahli keluarga sendiri, maka mereka akan berasa tersisih dan akan mudah kembali kepada penyalahgunaan dadah. Kita harus sedar dan memberikan mereka harapan dan peluang untuk memulakan kehidupan baru.

Semua pihak perlu melibatkan diri dalam usaha menangani gejala dadah. Apa yang diperlukan ialah penjagaan yang berterusan dalam hal ini, atau apa yang disebut sebagai "continuum of care". Sekiranya terdapat kelemahan dalam mana-mana aspek pencegahan atau rawatan, maka akan lemahlah seluruh usaha kita untuk membendung dadah.

Konklusinya pendekatan yang strategik, menyeluruh dan bersepadu perlu diambil dalam memerangi dadah. Semua agensi, badan bukan kerajaan dan pihak-pihak yang lain haruslah bekerjasama dan menyelaras usaha-usaha mereka. Idea-idea baru perlu difikirkan untuk memberi nafas segar kepada usaha-usaha kita. Pihak kementerian dalam negeri sendiri sedang berusaha untuk melaksanakan beberapa program baru, termasuk menjadikan pusat serenti sebagai anak angkat kepada institusi pengajian tinggi (I.P.T.); menempatkan penagih (yang berada di fasa pra-pembebasan) di sektor swasta, seperti di kilang-kilang; mengadakan program khidmat masyarakat oleh penghuni pusat serenti; menerokai modul rawatan yang baru, dan lain-lain lagi.

Catat Ulasan

0 Ulasan